Sunday, June 23, 2013

MASALAH JEREBU DI NEGERI PAHANG

Salam kepada semua pengusaha TASKA di Negeri Pahang.

Kita baru sahaja mengalami satu ujian yang diluar jangkaan iaitu masalah jerebu. Situasi ini amat merunsingkan banyak pihak. Bagi pengendali TASKA kita haruslah bijak menangani masalah semasa yang berlaku. PPNP ingin menasihatkan kepada semua pengusaha TASKA agar bertindak bijak dalam membuat sebarang keputusan bagi menjaga kepentingan semua pihak.

Saya telah dihujani banyak panggilan telefon berkaitan dengan penutupan TASKA. Berita TV3 jam 8.00 malam bertarikh 23 hb Jun, 2013, mengumumkan semua pusat jagaan, kerajaan dan agensi swasta ditutup. Ada beberapa badan kerajaan yang dikecualikan daripada ditutup seperti bomba, PAIP, hospital dan beberapa badan kerajaan yang lain. Sehubungan dengan itu sebagai pengusaha TASKA terpulang kepada pengusaha samada ingin membuka atau menutup TASKA di ketika dan saat ini. Cuma saya katakan tadi kita perlu bijaksana menangani masalah ini. Contohnya sekiranya ada ibu bapa yang menghantar anak-anak ke TASKA maka menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga dan mengasuh anak-anak mereka kerana mungkin tempat mereka bekerja tidak mengisytiharkan cuti. Beberapa cadangan bagi mengatasi masalah ini:

a) Tidak menjalankan aktiviti luar seperti `nature walk' dan sebagainya.

b) Galakkan kanak-kanak minum air masak sebanyak mungkin

c) Pastikan kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda seperti pedih mata, sakit tekak, kulit gatal-gatal atau sesak nafas dibawa ke hospital dengan segera.

d) Menggunakan `mask' sekiranya perlu

e) Meningkatkan tahap kebersihan di TASKA kerana jerebu mengundang kehadiran habuk yang sangat banyak.

Semoga kita semua akan dilindungi oleh ALLAH swt sentiasa.