Sunday, December 14, 2014

Yuran Taska Minumum RM300

Yuran taska minimum RM300
ASWANY OMAR
December 14, 2014

KUANTAN - Persatuan Pengasuh Pahang bercadang menetapkan RM300 sebagai yuran minimum sebulan bagi perkhidmatan anggotanya bermula tahun depan.

Penasihatnya, Rosnah Ahmad berkata, ini bagi membolehkan anggota persatuan itu mempunyai keupayaan yang cukup untuk meneruskan operasi memandangkan kenaikan kos yang dihadapi pada masa ini. 

"Kenaikan tidak dapat dielak kerana ada pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) yang menghadapi kemungkinan gulung tikar akibat kenaikan kos utiliti dan penetapan gaji minimum jika penetapan yuran minimum ini tidak dilaksanakan," katanya.

Menurut Rosnah, keputusan itu bukan dibuat demi kepentingan pengusaha semata-mata tetapi juga untuk meningkatkan keupayaan anggota persatuan memberikan perkhidmatan yang lebih efisien termasuk penggunaan log harian kanak-kanak yang menjadi medium komunikasi antara ibu bapa dan pengurusan taska.

Menurutnya, selama ini ramai pengusaha mengeluh kerana terpaksa menanggung beban kenaikan kos selain penguatkuasaan gaji minimum dengan kadar yuran maksimum RM250.

Bagaimanapun katanya, kenaikan purata RM50 ini akan memberi lebih banyak keistimewaan termasuk rekod perkembangan kanak-kanak sebanyak empat kali setahun atau setiap tiga bulan sekali.

“Kita akan memaklumkan perkara ini kepada ibu bapa pada sesi depan dan sehingga kini ibu bapa tiada masalah kerana mereka turut memahami tujuan kenaikan yuran,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutupan Kohort 5 2014 di Pusat Latihan Tinta Ori di Indera Mahkota, di sini, semalam.

Rosnah berkata, sebagai pengusaha taska, semua ahli persatuan mengalu-alukan keputusan itu kerana boleh membantu mereka menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.

Menurutnya, penetapan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) iaitu tiga kanak-kanak bagi seorang pengasuh perlu dipenuhi bagi mengelakkan sebarang masalah.

Sehingga kini, katanya sebanyak 124 taska berdaftar bawah persatuan berkenaan.

Kohort 5 disertai 34 pengasuh dari zon timur iaitu Rompin, Kuantan dan Pekan yang memerlukan mereka menjalani kursus selama 27 hari termasuk lima hari praktikal di taska terpilih.

Syabas dan terima kasih JKM Pahang