Oleh:
Rosnah Ahamd
Selamat hari ibu diucapkan kepada semua insan yang
bergelar ibu.
Saban tahun hari ibu diraikan bagi mengingati jasa
dan pengorbanan ibu yang melahirkan, mengasuh dan mendidik anak-anak.
Bagi saya sambutan hari ibu adalah hari bagi
memperingatkan saya tentang peranan saya sebagai ibu kepada tiga orang anak. Dua
anak saya sudah remaja. Cabaran menjadi
ibu hari ini berbeza sekali berbanding zaman ibu saya dahulu. Ilmu dan
kemahiran keibubapaan perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi membantu
melaksanakan amanah mendidik anak-anak kini.
Anak-anak kecil kini melalui zaman kanak-kanak yang
berbeza. Kalau dulu anak lazimnya dijaga
di rumah oleh ibu bapa sehingga usia anak bersedia ke tadika. Peredaran masa yang
menyaksikan lebih ramai wanita keluar bekerja bagaimanapun mengubah bagaimana
anak kita di asuh dan di didik. Ramai anak kini dihantar ke taska atau taska
rumah sepeninggalan ibu mereka keluar bekerja.
Maka tugas mengasuh dan mendidik anak kini perlu dikongsi dengan pengasuh taska atau
pengasuh taska rumah. Pengasuh adalah
ibu ganti kepada anak-anak dalam sebahagian besar hidup mereka iaitu lebih
kurang 10 hingga 12 jam sehari bagi ibu-ibu yang bekerja sepenuh masa. Sewajarnya
jasa dan peranan pengasuh juga perlu lebih diiktiraf dan di beri perhatian
seiring dengan jasa dan peranan ibu bapa.
Ibu bapa adalah pendidik utama dan rumah adalah madrasah pertama bagi anak-anak.
Taska adalah sistem sokongan kepada institusi kekeluargaan. Oleh itu ibu bapa
berperanan menghubungkan rumah dan taska
untuk kepentingan anak mereka. Ibu bapa harus mengambil inisiatif melibatkan
diri di Taska. Konsep penglibatan ibu
bapa harus lebih dihayati. Ia bukan hanya sekadar menghadiri program tahunan
seperti gotong royong atau sambutan hari perayaan. Ia juga termasuk perkongsian
maklumat dan masalah, perkongsian ilmu keibubapaan serta perbincangan secara
berterusan berkaitan perkembangan kanak-kanak.
Mengapa penglibatan ibu bapa sangat penting:-
Ø Ibu bapa sayang
kepada anak mereka dan mengenali personaliti serta identiti anak mereka. Mereka
juga sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak. Manakala pengasuh juga sayang kepada anak jagaan
dan dilatih kemahiran berkaitan perkembangan kanak-kanak. Pengasuh senantiasa memastikan kesejahteraan dan cuba
memupuk potensi anak. Jadi kanak-kanak akan merasa selamat dengan adanya
perhubungan yang baik antara ibu bapa dan pengasuh. Ia juga memastikan
kanak-kanak mendapat pengasuhan dan pendidikan yang terbaik .
Ø Perkongsian,
perhubungan, interaksi, kerjasama dan
sokongan ibu bapa dan pengasuh dapat meningkatkan perkembangan kanak-kanak
Penglibatan ibu bapa dalam pendidikan
kanak-kanak dapat meneguhkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak dan
membantu mengekalkan kejayaannya.
( Rohani Abdullah, 2007)
Ø Ibu
bapa boleh berbincang dengan pengasuh berkaitan perkembangan, tingkah laku dan
apa sahaja masalah yang dihadapi. Perbincangan dan perkongsian begini dapat
menyelesaikan banyak masalah dan meningkatkan kemahiran keibubapaan. Ia juga menolong pengasuh memahami serta menghormati
pandangan, budaya dan latar belakang keluarga.
Ø Penglibatan
diri ibu bapa dapat meningkatkan lagi program dan aktiviti di taska dan
seterusnya membantu meningkatkan kualiti taska.
Sesetengah pengasuh merasa kecewa apabila ibu bapa tidak menyokong penglibatan ibu bapa di taska.. Ibu bapa perlu berusaha dan memberi komitmen yang lebih kepada usaha-usaha penglibatan ibu bapa di taska anak mereka. Dengan itu pengasuh akan lebih yakin, bersemangat dan seronok untuk meneruskan usaha serta merasakan diri mereka dihargai sebagai orang yang penting dalam hidup anak mereka.
Ø Penglibatan ibu bapa yang sihat akan meningkatkan kualiti sistem kekeluargaan, sistem komuniti setempat dan seterusnya memberi impak yang besar kepada kesejahteraan negara.
Sempena Hari Ibu
ini, Persatuan
Pengasuh Negeri Pahang (PPNP) sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang
aktif menggembleng tenaga berusaha
meningkatkan penglibatan ibu bapa bagi memastikan peningkatan kualiti pengasuhan
dan pendidikan kanak-kanak di semua taska di Negeri Pahang.
Antaranya PPNP memperkenalkan penggunaan Log
Harian di Taska. Log harian ini bertujuan mencatat secara ringkas dan tepat apa yang berlaku sepanjang hari termasuk:-
- KESELAMATAN DAN KESIHATAN
Masa ketibaan siapa
yang menghantar, barang yang di bawa dan tahap kesihatan anak pada hari itu. ( maklumat ini akan diisi
oleh ibu bapa setiap hari)
- MEREKOD KEADAAN FIZIKAL
Catatan
kesihatan anak dan pemeriksaan fizikal. ( diisi oleh ibu bapa dan pengasuh)
- MEREKOD AKTIVITI HARIAN
- MEREKOD TINGKAHLAKU
- MEREKOD RUTIN
DARI ASPEK KUANTITI &KEKERAPAN
Pengasuh akan mencatat perkara-perkara ini untuk rujukan dan tindakan
seterusnya oleh ibu bapa di rumah.
Penggunaan log harian ini akan menjadi asas komunikasi
harian dan perkongsian maklumat antara ibu bapa dan pengasuh demi kesejahteraan
kanak-kanak. Ini dapat melancarkan perkhidmatan taska dan mengurangkan salah
faham antara ibu bapa dan pengasuh.
Usaha menulis log harian ini memerlukan sedikit komitmen
daripada ibu bapa dan pengasuh. Apa pun usaha ini membantu menjamin keselamatan, kesihatan serta
memperkukuhkan kesinambungan
pembelajaran yang di amalkan di taska dan amalan di rumah.
PPNP berharap sebarang masalah atau kesulitan yang mungkin
timbul dalam proses melaksanakan penggunaan log harian ini secara efektif di
semua taska dapat ditangani secara bijak professional.
Perbincangan yang sihat
antara ibu bapa dan pengasuh akan dapat menyelesaikan masalah malah akan dapat
mempertingkatkan kualiti pengasuhan. PPNP juga sangat mengalu-alukan sebarang
cadangan dan penambahbaikan log harian ini dari masa ke semasa.
Akhir kata saya bagi pihak PPNP senantiasa berdoa
agar kita sentiasa bersatu dan berdoa agar segala usaha murni kita dimudahNya
demi kesejahteraan generasi pewaris.
Bersatu
kita teguh, bercerai kita roboh.
Sekian.
Wallahua’lam.
Rosnah
Ahmad (http://rentis.blogspot.com)
Penasihat
Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (http://pengasuhpahang.blogspot.com)
10
Mei 2013