Saturday, December 22, 2012

Pelaksanaan Gaji Minimum Terhadap Majikan Dengan Lima Pekerja Atau Kurang Ditangguh


Dipetik dari mStar Online
http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=%2F2012%2F12%2F4%2Fmstar_berita%2F20121203234300&sec=mstar_berita
Selasa Disember 4, 201
KUALA LUMPUR: Majikan yang menggaji lima pekerja atau kurang diberi penangguhan dalam pelaksanaan skim gaji minimum untuk sektor swasta kepada 1 Julai tahun depan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata majikan yang tergolong dalam kategori ini wajib memohon penundaan kepada Majlis Perunding Gaji Negara (MPGN) sebelum atau pada 1 April 2013.
"Bagi majikan yang menggaji enam pekerja atau lebih, yang telahpun membuat permohonan penundaan kepada MPGN sebelum ini, keputusannya akan diumum selewat-lewatnya akhir bulan ini," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan RM100,000 untuk pembangunan semula Kuil Thirumurugan Aalaya Paribalana Sabai yang terletak berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam Isnin.
Pengumuman gaji minimum bagi sektor swasta dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 April dan diwartakan pada 16 Julai lepas.
Perintah gaji minimum 2012 berkuat kuasa pada 1 Jan 2013 dan kadarnya akan dikaji semula setiap dua tahun.
Subramaniam berkata penguatkuasaan pelaksanaannya adalah mandatori dan kerajaan menetapkan gaji minimum pekerja swasta ialah RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Mengulas Mesyuarat Agung Tahunan MIC ke-66 pada 9 Dis ini, beliau berkata antara isu yang akan dibangkitkan ialah dasar politik baharu yang diperkatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan langkah pembaharuan oleh Presiden parti Datuk Seri G.Palanivel.
"Isu lain yang akan disentuh ialah pendidikan, ekonomi dan peluang perniagaan, khususnya membabitkan kontrak kerja oleh kerajaan untuk kaum India," katanya.
Subramaniam berkata satu resolusi membabitkan isu berkenaan akan dibuat pada akhir mesyuarat dan diserah kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.
Mengenai Kuil Thirumurugan Aalaya Paribalana Sabai, beliau berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana meluluskan rancangan pembinaan semula kuil itu.
Kuil itu memberi kemudahan ibadat kepada kaum India apabila menerima rawatan atau berurusan di HKL, katanya. - BERNAMA

Thursday, November 15, 2012

HIJRAH NALURI DIRI DEMI GENERASI PEWARIS


Salam Maal Hijrah kepada semua warga PPNP,

Semoga semua berada dalam kemanisan iman dan sihat walafiat sekeluarga hendaknya.

Sempena Maal Hijrah ini marilah sama-sama kita berazam berubah dan berhijrah ke arah kebaikan dalam kehidupan seharian kita untuk mencari keredhaan Allah semata-mata.

Surah At Taubah ayat 20 yang bermaksud: "Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan diri, mereka adalah lebih tinggi darjatnya pada sisi Allah (SWT). Mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan mengembirakan mereka dengan rahmat daripada-Nya keredhaan dan syurga. Di dalamnya mereka memperoleh kesenangan yang abadi. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya disisi Allah itu pahala yang sangat besar

Sebagai pengusaha, penyelia dan pengasuh taska pengertian hijrah ini mungkin berbeza dan memberi lebih makna. Saban hari kerjaya kita menuntut pengorbanan dan penghijrahan terutama dari segi perasaan, perkataan dan perbuatan. Anak-anak disekeliling kita sangat mendambakan cara pengasuhan yang lembah lembut dan berhemah serta sesuai dengan fitrah mereka yang suci.

“…Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada orang yang dididik lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak.Barangsiapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan paksaan, maka akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat…” Ibnu Khaldun.

Diriwayatkan hadith dari Ibni Abi Najih hadith dari Ibni 'Amir hadith dari Abdillah b 'Amru meriwayatkan hadith Ibnu Sarhih berkata: 'Hadith dari Nabi (s.a.w) bersabda: 'Man lam yarham soghirana wa-ya'rif haqqa kabirina falaisa minna.' (Yg bermaksud: Barangsiapa yg tidak menyayangi anak-kanak kecil (atau kanak-kanak) dan tidak tahu hak orang-orang tua (antaranya, dihormati), maka bukanlah dia dari golongan aku (Nabi).) [Hadith Abu Daud, Kitab Adab]

Kelebihan dan keistimewaan kerjaya pengasuhan ini seharusnya kita gunakan untuk lebih mendekatkan diri dan meraih redha Allah SWT. Konsep hijrah ini jika kita hayati dan selalu memperbetulkan niat, mampu menjadikan kita lebih fokus, berilmu dan beramal untuk mencapai kesejahteraan diri, keluarga dan anak-anak yang kita jaga dan seterusnya kesejahteraan komuniti dan masyarakat setempat.

Ayuh, marilah sama-sama kita kita laksanakan penghijrahan naluri kearah kecemerlangan diri, keluarga dan generasi pewaris yang diamanahkan dibahu kita semua.

Sekian. Wallahua'lam.

Rosnah Ahmad
Penasihat
PPNP
1 Muharam 1434H

Monday, November 5, 2012

PEMURNIAN MODUL KURSUS PERKAHWINAN BAKAL MELAHIRKAN MODAL INSAN BERAKHLAK


Oleh:
Puan Salina Shamsudin
Pengerusi
Persatuan Pengasuh Negeri Pahang


Mutakhir ini kes penderaan, pembuangan bayi dan pengabaian kanak-kanak serta bertambahnya gejala sosial di kalangan remaja membimbangkan semua termasuk ibu bapa, masyarakat dan juga kerajaan.

Kajian mendapati  semua ini berlaku ini adalah kerana kurangnya kemahiran keibubapaan dalam mengasuh, mendidik dan menangani tingkah laku anak-anak peringkat awal iaitu di bawah 8 tahun.

Kanak-kanak dilahirkan seperti sehelai kain putih. Ibu bapa bertanggungjawab  mencorakkan anak-anak mereka menjadi modal insan yang berguna.

Rasulullah SAW bersabda “ Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (bertauhid), maka kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. 
( Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dapatan dari kajian developmental psychopathology membuktikan bahawa pertambahan masalah sosial di kalangan remaja berkaitan rapat dengan pendidikan dan cara mereka dibesarkan terutama di peringkat awal. Kajian menyokong kepentingan pengalaman awal yang berkualiti kepada kejayaan seseorang di sekolah dan dalam kehidupan.
(Ball, 1994),(The Organisation for Economic Co-Operation Development, OECD,1996).

Oleh itu, usaha  meningkatkan kesedaran dan kemahiran keibubapaan dalam diri setiap orang dewasa dalam masyarakat perlu dilakukan agar mereka lebih memahami dan dapat menyantuni fitrah kanak-kanak di sekeliling mereka.

Kesedaran keibubapaan juga dapat meningkatkan produktiviti di kalangan pekerja kerana ilmu ini dapat membantu mereka mengimbangi kehidupan sebagai ibu bapa dan pekerja.

Jika di Malaysia pendedahan kesedaran untuk mendidik kanak-kanak akan dilakukan melalui kursus-kursus keibubapaan. Tetapi selalunya kehadirannya kebanyakannya tidak melibatkan ibu dan bapa muda atau bakal ibu bapa. Bagi bakal pengantin pula menghadiri kursus hanya sebagai satu syarat untuk urusan perkahwinan, tetapi penghayatan isi kandungan kursus, rata-ratanya ibarat `melepaskan batuk di tangga’. 

Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, PERMATA Negara, institusi pengajian tinggi ada menyediakan kursus-kursus berkaitan cara mana mendidik dan mengasuh kanak-kanak. Tetapi kursus ini tidak menjadi pilihan kerana kesedaran tidak dipupuk dari awal oleh ibu bapa. 


Kita sedia maklum bahawa semua Jabatan Agama Islam di Malaysia menganjurkan kursus perkahwinan berkala bagi tujuan memberi ilmu kepada bakal pengantin tentang peranan dan tanggungjawab sebagai suami isteri apabila berumah tangga kelak.

Apa pun bakal suami isteri ini juga perlu diberi pengetahuan dan kemahiran mengasuh dan mendidik anak-anak yang bakal dilahirkan secara mendalam. Ini sesuai dengan ajaran Islam sebagaimana yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para cendekiawan Islam seperti Ibnu Khaldun, Sayidina Ali dan ramai lagi cendekiawan Islam yang mengajar kita cara terbaik untuk mengasuh dan mendidik anak-anak secara fitrah.

Atas kesedaran bagi melahirkan modal insan terbaik, modul untuk kursus perkahwinan perlu ditambah pengisian nya dengan dimasukkan aspek kemahiran keibubapaan mengasuh dan mendidik anak-anak di peringkat awal yang paling kritikal iaitu bermula dari dalam janin hingga 8 tahun. Kemahiran keibubapaan yang dicadangkan adalah mengikut prinsip serta mengambil kira aspek dan teknik kontemporari yang selari dengan ajaran Islam.

Sayugia lah bagi melahirkan modal insan yang terbaik akar umbi permasalahan dileraikan dengan menggabungkan atau menambah baik kursus perkahwinan dengan pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak di peringkat awal lagi.

Apa pun semua ini memerlukan perjuangan yang menuntut pengorbanan, kerjasama dan sokongan yang berterusan dari kita semua.  Natijah kepada perjuangan ini akan menjadikan Malaysia tempat yang lebih makmur,  selamat dan kondusif  untuk kesejahteraan kanak-kanak modal insan hari esok.

Sekian. Wallahua’lam.



Friday, October 26, 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA-AYUH BERJUANG, BERSATU DAN BERKORBAN DEMI KESEJAHTERAAN KANAK-KANAK


Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua warga PPNP yang dikasihi sekelian,

Marilah sama-sama menghayati erti pengorbanan dan menterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Selain tuntutan untuk kita berkorban, Hari Raya Aidil Adha juga membawa mesej konsep kesatuan dan perpaduan.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran, ayat 103:

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ

Bermaksud: "Dan hendaklah kamu berpegang-teguh dengan tali Allah (ugama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai".

Sempena Hari Raya Aidil Adha ini saya berseru agar semua ahli  Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (PPNP)  bersatu dan berkorban demi kesejahteraan kanak-kanak. Ini sesuai dengan objektif dan imej penubuhan PPNP sebagai badan bukan kerajaan yang melaksanakan aktiviti dan kerja-kerja advokasi bagi kesejahteraan kanak-kanak sesuai dengan moto PPNP iaitu  “ ke arah pengasuhan yang berkualiti”.

Situasi hari ini  menyaksikan kanak-kanak setiap hari terdedah kepada pelbagai aspek penaniayan, penderaan dan kecederaan . Kita mesti mengembeleng tenaga untuk:-

1.      Meningkatkan kualiti asuhan dan didikan yang memenuhi hak kanak-kanak dari segi keselamatan, perkembangan, perlindungan dan penyertaan.

2.      Memberi ilmu dan kemahiran yang mencukupi dan berkualiti untuk pengasuh supaya mereka dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mengasuh dan mendidik dengan lebih professional.

3.      Meningkatkan kesedaran dan kemahiran keibubapaan dalam diri setiap orang dewasa dalam masyarakat agar mereka lebih memahami dan dapat menyantuni fitrah kanak-kanak disekeliling mereka. Menggembeleng tenaga setiap agensi kerajaan, swasta dan NGO untuk bekerjasama bagi mencapai tujuan ini.  Kesedaran keibubapaan juga dapat meningkatkan produktiviti dikalangan pekerja kerana ilmu ini dapat membantu mereka mengimbangi kehidupan sebagai ibu bapa dan pekerja.

4.      Memastikan persekitaran di taska, tadika, sekolah, rumah dan juga semua tempat awam selamat dan kondusif untuk kanak-kanak.  Perkongsian bijak antara Taska, ibu bapa dan komuniti dapat membantu usaha ini.

5.      Menaik taraf pendidikan dan profesionalisme  kerjaya  pengasuh  seiring dengan keperluan menaikkan gaji pengasuh yang rata-ratanya sekarang ini masih di bawah tahap  kemiskinan.

Apa pun semua ini memerlukan perjuangan yang menuntut pengorbanan, kerjasama dan sokongan yang berterusan dari kita semua.  Natijah kepada perjuangan ini akan menjadikan Malaysia tempat yang lebih makmur,  selamat dan kondusif  untuk kesejahteraan kanak-kanak modal insan hari esok.
Sekian. Wallahua’lam.

Rosnah Ahmad
Penasihat
Persatuan Pengasuh Negeri Pahang
10 Zulhijjah 1433H


Friday, October 19, 2012

Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak Anjuran Persatuan Pengasuh Negeri Pahang

Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak akan diadakan di Zon Timur (Kuantan) dan Zon Barat (Temerloh) seperti berikut:

Zon Timur (Kuantan)

Tarikh : 12 hb November hingga 1 hb Disember, 2012

Tempat : Pusat Latihan Tinta Ori
         B 32 Tingkat 2, Lorong IM 5/2
         Bandar Indera Mahkota
         25200 Kuantan

Masa pendaftaran: 12 hb Nov, 2012 jam 8.00 pagi di Pusat Latihan Tinta Ori.

Zon Barat (Temerloh)

Tarikh : 16 hb November hingga 6 hb Disember, 2012


Tempat : Dekad Ombak Training Centre
           No.21, 2nd Floor, Jalan Ahmad Shah
           28000 Temerloh
           Pahang 
 


Yuran Kursus : RM300 seorang tidak termasuk makan dan minum. 

Penginapan : kepada yang memerlukan sila berurusan dengan penyelaras kursus semasa hari pendaftaran.

Berminat untuk mendaftar dan keterangan lanjut sila hubungi:

Zon Timur (Kuantan)

Puan Zubaidah Husin (017-9190664/013-9390748)

Zon Barat (Temerloh)

Puan Salina Shamsudin (013-9811744)



Monday, September 3, 2012

KURSUS REFRESHER PERMATA SIRI 1 DI ZON BARAT DAN TIMUR BERJALAN LANCAR

Kursus Refresher PERMATA Siri 1 bagi Zon  Barat (bagi daerah Temerloh, Jerantut, Kuala Lipis, Bentong, Bera, Raub dan Cameron Highland) serta Zon Timur (bagi daerah Kuantan, Pekan dan Rompin) telah diadakan serentak pada 1 dan 2 hb September, 2012.

Kursus anjuran PERMATA Negara ini dengan kerjasama Persatuan Pengasuh Negeri Pahang telah diadakan di Pusat Latihan Tinta Ori bagi Zon Timur dan Pusat Latihan Dekad Ombak bagi Zon Barat. Kursus selama 2 hari ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada semua pengusaha dan pengasuh berkaitan dengan kurikulum PERMATA yang akan digunapakai mulai Jan 2013. Kursus ini telah dikendalikan oleh jurulatih PERMATA yang diiktiraf oleh PERMATA Negara.

Kursus bagi kedua-dua zon telah dihadiri seramai lebih kurang 40 orang yang terdiri daripada pengusaha, penyelia dan pengasuh TASKA di seluruh negeri Pahang. Kursus ini merupakan kursus bersiri dan akan berakhir pada November, 2012.

Pihak Persatuan berharap kepada semua pengusaha yang masih belum mendaftar untuk menghadiri kursus, boleh berbuat demikian dengan menghubungi Puan Zubaidah Husin ()17-9190664/013-939078) bagi Zon Timur dan Puan Salina Shamsudin (013-9811744) bagi Zon Barat.

Arus perubahan di dalam pendidikan awal kanak-kanak haruslah dilihat di satu sudut yang positif. Perubahan yang baik tidak akan memudaratkan sesiapa pun termasuklah kanak-kanak. Malah adalah diharapkan dengan adanya sedikit perubahan pengurusan TASKA akan lebih piawai dan sistematik bagi melahirkan modal insan yang berguna. Setiap individu yang terlibat secara langsung dalam industri pendidikan awal kanak-kanak haruslah mengenepikan sikap mementingkan diri sendiri bagi memastikan semua kanak-kanak di negeri Pahang amnya dan seluruh Malaysia khususnya mendapat asuhan dan didikan yang sempurna bagi melahir modal insan yang sempurna. Insyaallah.

Sunday, July 22, 2012

KURSUS REFRESHER PERMATA UNTUK PENGUSAHA DAN PENGASUH



Merujuk kepada perkara di atas, pihak Persatuan Pengasuh Negeri Pahang telah diamanahkan oleh PERMATA Negara untuk menjalankan kursus tersebut di atas.

2.         Mulai Januari, 2013 semua TASKA akan menggunakan sepenuhnya Kurikulum PERMATA. Sehubungan dengan itu semua pengusaha dan pengasuh yang telah pun mempunyai sijil KAAK adalah diwajibkan untuk menghadiri kursus tersebut. Pendidikan awal kanak-kanak telah sampai masanya untuk melalui satu arus perubahan yang mana objektifnya memberi manfaat kepada kanak-kanak seterusnya memartabatkan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

3.         Tujuan kursus selama dua (2) hari ini adalah untuk mendedahkan kepada semua pengusaha dan pengasuh berkaitan pemakaian kurikulum baru TASKA masing-masing mulai Januari, 2013.

4.         Kursus akan dijalankan selama dua (2) hari  iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Bagi Zon barat iaitu Temerloh, Bera, Jerantut, Raub, Bentong, Kuala Lipis dan Cameron Highland, pusat bagi menjalankan kursus di zon barat adalah di Temerloh. Zon Timur termasuk Kuantan, Pekan, Muadzam dan Maran akan berpusat di Kuantan.

5.         Sepanjang  berkursus pihak Persatuan hanya akan menyediakan makan dan minum untuk selama 2 hari. Bagi perbelanjaan penginapan dan pengangkutan adalah tanggungan peserta.

6.         Bayaran yang dikenakan untuk setiap peserta adalah sebanyak RM30.00  seorang peserta untuk dua (2) hari termasuk makan dan minum (3 kali sehari). Bayaran hendaklah dimasukkan ke akaun Persatuan Pengasuh Negeri Pahang nombor akaun 06110009717054 (CIMB Bank) sebelum 15 hb Ogos, 2012. Resit akan dikeluarkan pada hari pendaftaran kursus dengan mengemukakan slip kemasukan (bank in slip)..

7.         Peserta dikehendaki membawa satu (1) salinan  kad pengenalan dan satu (1) salinan sijil KAAK yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Dokumen tersebut hendaklah diserahkan kepada urusetia semasa hari pertama kursus.

8.         Kursus ini akan dijalankan bersiri dimana satu siri akan disertai oleh 40 orang yang terdiri daripada pengusaha, penyelia dan juga pengasuh. Peserta  hanya dibenarkan untuk menghadiri kursus ini sekali sahaja. Sekiranya nama tidak disenaraikan pada siri pertama ini bermakna peserta akan menghadiri kursus pada siri berikutnya.

9.         Siri kursus adalah seperti berikut:

                        Siri 1     -           1 hb hingga 2 hb September, 2012 (Sabtu dan Ahad)
           
                        Siri 2     -           8 hb hingga 9 hb September, 2012 (Sabtu dan Ahad)

                        Siri 3     -           22 hb hingga 23 hb September, 2012 (Sabtu dan Ahad)

                        Siri 4     -           29 hb hingga 28 hb September, 2012 (Sabtu dan Ahad)


            Tempat kursus bagi zon barat yang ditetapkan adalah seperti berikut:

                        Dekad Ombak Training Centre
                        No.21, 2nd Floor, Jalan Ahmad Shah
                        28000 Temerloh
                        Pahang

          Tempat kursus bagi zon timur yang ditetapkan adalah seperti berikut:

           n          Pusat Latihan Tinta Ori
                        B32, Tingkat 2, Lorong IM 5/1
                        Bandar Indera Mahkota
                        25552 Kuantan

10.        Semua pengusaha diminta untuk mendaftarkan nama pengasuh kepada  Puan Salina binti Shamsudin (Pengerusi Persatuan Pengasuh Negeri Pahang) untuk Zon Barat di talian 013-9811744 dan Puan Zubaidah Husin ( Naib pengerusi Persatuan Pengasuh Negeri Pahang) untuk zon timur di talian 017-9190664/013-9390748 atau emel kepada ppnppengasuh@gmail.com sebelum atau pada 31 hb Julai, 2012. Sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengan Puan Salina Shamsudin di talian 013-9811744 atau Puan Zubaidah Husin di talian 017-9190664/013-9390748.

11.        Pihak persatuan sangat berharap kerjasama daripada semua pengusaha untuk mendaftarkan nama pengasuh bagi menghadiri kursus tersebut. Pihak persatuan juga mahukan satu pengasuhan yang piawai dan berkualiti di Pahang, justeru itu marilah sama-sama kita melalui satu anjakan paradigma dalam pendidikan awal kanak-kanak demi kesejahteraan kanak-kanak di Pahang khususnya dan di Malaysia amnya. Semoga segala usaha kita akan diberkati oleh ALLAH swt. Bagi pihak persatuan, mengucapkan jutaan terima kasih di atas segala sokongan yang telah diberikan.


Sekian, terima kasih.

`KE ARAH PENGASUHAN YANG BERKUALITI’


Yang benar,


Zubaidah Husin
Naib Pengerusi
Persatuan Pengasuh Negeri Pahang
2011/2013




Friday, July 20, 2012

Rosmah: Taska swasta wajib ikut kursus Permata

KUALA LUMPUR - Bermula tahun depan, semua pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) swasta serta para tenaga pengajarnya dikehendaki menghadiri Kursus Permata untuk menggantikan Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, untuk tujuan itu, pihak Permata dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang dalam proses merangka pelan peralihan bagi membolehkan Kursus Permata dan Kurikulum Permata diguna pakai oleh semua taska swasta di seluruh negara.

Rosmah yang juga Penaung Permata Negara berkata, semasa dalam tempoh peralihan, pihak Permata akan menganjurkan kursus-kursus melatih para pelatih bagi membolehkan tenaga pengajar swasta melaksanakan Kursus Permata untuk pendidik mereka.

"Di samping itu, pihak Permata juga akan menganjurkan kursus ulang kaji mengenai Permata kepada tenaga pendidik yang sedia ada agar dapat memakai Kurikulum Permata," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Anak Permata Negara Kerinchi di PPR Kerinchi di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Salleh Yusop serta Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Datuk Azman Amin Hassan.

Menurut Rosmah sehingga kini, pemakaian Kurikulum Permata hanya melibatkan Taska di bawah kelolaan kerajaan di seluruh negara sahaja yang dijadikan sebagai garis panduan Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan sejak 2009.

Mengenai Pusat Anak Permata Negara Kerichi, Rosmah berkata walaupun dibina bahagian bawah rumah pangsa, namun ia mempunyai ciri binaan yang sesuai, selamat dan menyeronokkan untuk kanak-kanak.

"Walaupun terdapat kekangan keluasan tanah, namun pusat ini masih mempunyai kawasan untuk aktiviti pembelajaran luar yang sememangnya penting bagi perkembangan menyeluruh kanak-kanak.

Beliau berharap lebih banyak pusat seperti itu dapat dibuka di kawasan rumah pangsa untuk manfaat anak-anak sebagai permulaan kepada kehidupan yang lebih baik.

Rosmah berkata penubuhan pusat berkenaan agak unik kerana ia diwujudkan atas permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri semasa lawatan turun padang beliau ke Lembah Pantai pada akhir Januari lalu.

"Penubuhan pusat ini adalah sebahagian daripada janji Perdana Menteri yang telah ditepati untuk menyediakan sebuah pusat asuhan dan didikan kanak-kanak yang berkualiti kepada kanak-kanak di kawasan Kerinchi," katanya. - Bernama

Monday, May 14, 2012

PERMATA HATIKU...


Khas buat semua pengasuh....Jasa mu tetap di kenang....

dipetik dari http://rentis.blogspot.com

PERMATA HATI


Saban pagi
Ku sambut tangan mu
Ku redakan tangis mu
Ku pimpin tangan mu

Bersama mu
Sepanjang hari
Ku penuhi kehendak mu
Ku asuh fitrah mu
Ku galakkan kau
Bermain dan meneroka
Memberi makna
Pada kehidupan
Biar berbunga cinta
Di hati

Saban petang
Kau cium tangan ku
Tubuh kecil mu ku rangkul
Ku bisikan sayang
Ku cium pipi mu
Lambaian mu ku iringi
Dengan kuntuman senyum
Moga esok bersama lagi

Namun saban tahun
Pada sambutan hari guru
Pada sambutan hari ibu
Ku bagai dilupai
Kau pula masih kecil
Untuk mengerti

Tak mengapa sayang
Bukan itu pinta ku
Hadir mu cukup membahagiakan
Bagi mewarnai hidup ku
Tiap masa
Kasih ku makin mendalam
Mendetik doa dalam sanubari

Tersenyum jua daku
Penuh syukur
Melihat diri mu
Meniti kejayaan
Demi kejayaan

Wahai anak jagaan
Permata hati ku…
Gilap  bercahaya
Menyuluh
Syukur…
Aku pernah bersama mu…

Dari diari seorang yang bernama Pengasuh
Rosnah Ahmad

Kampung Durian Sebatang, Raub, Pahang.

Sunday, April 8, 2012

KURSUS ASAS ASUHAN KANAK-KANAK SIRI 1/2012

TARIKH KURSUS: 26 MEI 2012 - 9 HB JUN 2012

TEMPAT:

PUSAT LATIHAN TINTA ORI, INDERA MAHKOTA PAHANG
B 32, TINGKAT 2, LORONG IM 15/2, BANDAR INDERA MAHKOTA
25200 KUANTAN PAHANG

DEKAD OMBAK TRAINING CENTRE
NO.21, TINGKAT 2, JALAN AHMAD SHAH
28000 TEMERLOH PAHANG

BAYARAN: RM480.00

CARA BAYARAN: BANK IN KE AKAUN PERSATUAN 06110009717054 (CIMB BANK)

(SILA SIMPAN BANK IN SLIP DAN DISERAHKAN SEMASA HARI PENDAFTARAN UNTUK PENGELUARAN RESIT)


BAGI PESERTA YANG JAUH DAN BERCADANG UNTUK MENGIKUTI KURSUS DI KUANTAN PENGINAPAN AKAN DISEDIAKAN DENGAN BAYARAN YANG MINIMA.

KETERANGAN LANJUT SILA HUBUNGI :

PUAN ZUBAIDAH HUSIN (017-9190664/013-9390748) - KUANTAN

PUAN SALINA SHAMSUDIN (013-9811744) - TEMERLOH


PENDAFTARAN KURSUS DIBUKA SEKARANG.

Saturday, February 18, 2012

SAMBUTAN HARI PENGASUH & MESYUARAT AGUNG PPNP KALI KE -11

Sambutan Hari Pengasuh dan
Mesyuarat Agung PPNP Kali ke-11:

Tarikh : 17 hb hingga 18 hb Mac, 2012

Tempat : Semuji Agro Resort Kuantan

Bayaran : RM50 seorang

Tentatif Program

17 hb Mac, 2012

3.00 pm - Pendaftaran semua pengasuh/pengusaha/penyelia
- Pembahagian Kumpulan Sukaneka
- Minum petang
- Check in

5.00 pm - Sukaneka ria bersama pengasuh
(Pelbagai acara menarik disediakan)

8.00 mlm - Makan Malam Sempena Sambutan Hari Pengasuh dan Mesyuarat Agung
Tema : BLACK `N' RED GLITZ
- Persembahan pengasuh
- Persembahan AJK
- Games
- Lucky Draw
- Hadiah Misteri khas untuk pengasuh

18 hb Mac, 2012

9.00 pagi - Mesyuarat Agung PPNP kali ke 11

11.00 pagi - Majlis Bersurai

`ENERGY RECEIVE ENERGY RETURN'

`ONLY THE BEST CAN DO'

THANK YOU FOR ALL
THE EARLY CHILDHOOD EDUCATOR FOR YOUR GOOD SUPPORT

For registration please contact

Puan Salina Shamsudin (013-9811744) - Pengerusi PPNP
Puan Zubaidah Husin (017-9190664/013-9390748) - Naib Pengerusi PPNP


TARIKH TUTUP : 14 HB MAC, 2012