Thursday, November 15, 2012

HIJRAH NALURI DIRI DEMI GENERASI PEWARIS


Salam Maal Hijrah kepada semua warga PPNP,

Semoga semua berada dalam kemanisan iman dan sihat walafiat sekeluarga hendaknya.

Sempena Maal Hijrah ini marilah sama-sama kita berazam berubah dan berhijrah ke arah kebaikan dalam kehidupan seharian kita untuk mencari keredhaan Allah semata-mata.

Surah At Taubah ayat 20 yang bermaksud: "Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan diri, mereka adalah lebih tinggi darjatnya pada sisi Allah (SWT). Mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan mengembirakan mereka dengan rahmat daripada-Nya keredhaan dan syurga. Di dalamnya mereka memperoleh kesenangan yang abadi. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya disisi Allah itu pahala yang sangat besar

Sebagai pengusaha, penyelia dan pengasuh taska pengertian hijrah ini mungkin berbeza dan memberi lebih makna. Saban hari kerjaya kita menuntut pengorbanan dan penghijrahan terutama dari segi perasaan, perkataan dan perbuatan. Anak-anak disekeliling kita sangat mendambakan cara pengasuhan yang lembah lembut dan berhemah serta sesuai dengan fitrah mereka yang suci.

“…Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada orang yang dididik lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak.Barangsiapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan paksaan, maka akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat…” Ibnu Khaldun.

Diriwayatkan hadith dari Ibni Abi Najih hadith dari Ibni 'Amir hadith dari Abdillah b 'Amru meriwayatkan hadith Ibnu Sarhih berkata: 'Hadith dari Nabi (s.a.w) bersabda: 'Man lam yarham soghirana wa-ya'rif haqqa kabirina falaisa minna.' (Yg bermaksud: Barangsiapa yg tidak menyayangi anak-kanak kecil (atau kanak-kanak) dan tidak tahu hak orang-orang tua (antaranya, dihormati), maka bukanlah dia dari golongan aku (Nabi).) [Hadith Abu Daud, Kitab Adab]

Kelebihan dan keistimewaan kerjaya pengasuhan ini seharusnya kita gunakan untuk lebih mendekatkan diri dan meraih redha Allah SWT. Konsep hijrah ini jika kita hayati dan selalu memperbetulkan niat, mampu menjadikan kita lebih fokus, berilmu dan beramal untuk mencapai kesejahteraan diri, keluarga dan anak-anak yang kita jaga dan seterusnya kesejahteraan komuniti dan masyarakat setempat.

Ayuh, marilah sama-sama kita kita laksanakan penghijrahan naluri kearah kecemerlangan diri, keluarga dan generasi pewaris yang diamanahkan dibahu kita semua.

Sekian. Wallahua'lam.

Rosnah Ahmad
Penasihat
PPNP
1 Muharam 1434H