Monday, November 5, 2012

PEMURNIAN MODUL KURSUS PERKAHWINAN BAKAL MELAHIRKAN MODAL INSAN BERAKHLAK


Oleh:
Puan Salina Shamsudin
Pengerusi
Persatuan Pengasuh Negeri Pahang


Mutakhir ini kes penderaan, pembuangan bayi dan pengabaian kanak-kanak serta bertambahnya gejala sosial di kalangan remaja membimbangkan semua termasuk ibu bapa, masyarakat dan juga kerajaan.

Kajian mendapati  semua ini berlaku ini adalah kerana kurangnya kemahiran keibubapaan dalam mengasuh, mendidik dan menangani tingkah laku anak-anak peringkat awal iaitu di bawah 8 tahun.

Kanak-kanak dilahirkan seperti sehelai kain putih. Ibu bapa bertanggungjawab  mencorakkan anak-anak mereka menjadi modal insan yang berguna.

Rasulullah SAW bersabda “ Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (bertauhid), maka kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. 
( Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dapatan dari kajian developmental psychopathology membuktikan bahawa pertambahan masalah sosial di kalangan remaja berkaitan rapat dengan pendidikan dan cara mereka dibesarkan terutama di peringkat awal. Kajian menyokong kepentingan pengalaman awal yang berkualiti kepada kejayaan seseorang di sekolah dan dalam kehidupan.
(Ball, 1994),(The Organisation for Economic Co-Operation Development, OECD,1996).

Oleh itu, usaha  meningkatkan kesedaran dan kemahiran keibubapaan dalam diri setiap orang dewasa dalam masyarakat perlu dilakukan agar mereka lebih memahami dan dapat menyantuni fitrah kanak-kanak di sekeliling mereka.

Kesedaran keibubapaan juga dapat meningkatkan produktiviti di kalangan pekerja kerana ilmu ini dapat membantu mereka mengimbangi kehidupan sebagai ibu bapa dan pekerja.

Jika di Malaysia pendedahan kesedaran untuk mendidik kanak-kanak akan dilakukan melalui kursus-kursus keibubapaan. Tetapi selalunya kehadirannya kebanyakannya tidak melibatkan ibu dan bapa muda atau bakal ibu bapa. Bagi bakal pengantin pula menghadiri kursus hanya sebagai satu syarat untuk urusan perkahwinan, tetapi penghayatan isi kandungan kursus, rata-ratanya ibarat `melepaskan batuk di tangga’. 

Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, PERMATA Negara, institusi pengajian tinggi ada menyediakan kursus-kursus berkaitan cara mana mendidik dan mengasuh kanak-kanak. Tetapi kursus ini tidak menjadi pilihan kerana kesedaran tidak dipupuk dari awal oleh ibu bapa. 


Kita sedia maklum bahawa semua Jabatan Agama Islam di Malaysia menganjurkan kursus perkahwinan berkala bagi tujuan memberi ilmu kepada bakal pengantin tentang peranan dan tanggungjawab sebagai suami isteri apabila berumah tangga kelak.

Apa pun bakal suami isteri ini juga perlu diberi pengetahuan dan kemahiran mengasuh dan mendidik anak-anak yang bakal dilahirkan secara mendalam. Ini sesuai dengan ajaran Islam sebagaimana yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para cendekiawan Islam seperti Ibnu Khaldun, Sayidina Ali dan ramai lagi cendekiawan Islam yang mengajar kita cara terbaik untuk mengasuh dan mendidik anak-anak secara fitrah.

Atas kesedaran bagi melahirkan modal insan terbaik, modul untuk kursus perkahwinan perlu ditambah pengisian nya dengan dimasukkan aspek kemahiran keibubapaan mengasuh dan mendidik anak-anak di peringkat awal yang paling kritikal iaitu bermula dari dalam janin hingga 8 tahun. Kemahiran keibubapaan yang dicadangkan adalah mengikut prinsip serta mengambil kira aspek dan teknik kontemporari yang selari dengan ajaran Islam.

Sayugia lah bagi melahirkan modal insan yang terbaik akar umbi permasalahan dileraikan dengan menggabungkan atau menambah baik kursus perkahwinan dengan pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak di peringkat awal lagi.

Apa pun semua ini memerlukan perjuangan yang menuntut pengorbanan, kerjasama dan sokongan yang berterusan dari kita semua.  Natijah kepada perjuangan ini akan menjadikan Malaysia tempat yang lebih makmur,  selamat dan kondusif  untuk kesejahteraan kanak-kanak modal insan hari esok.

Sekian. Wallahua’lam.