Thursday, November 15, 2012
HIJRAH NALURI DIRI DEMI GENERASI PEWARIS
Salam Maal Hijrah kepada semua warga PPNP,
Semoga semua berada dalam kemanisan iman dan sihat walafiat sekeluarga hendaknya.
Sempena Maal Hijrah ini marilah sama-sama kita berazam berubah dan berhijrah ke arah kebaikan dalam kehidupan seharian kita untuk mencari keredhaan Allah semata-mata.
Surah At Taubah ayat 20 yang bermaksud: "Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan diri, mereka adalah lebih tinggi darjatnya pada sisi Allah (SWT). Mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan mengembirakan mereka dengan rahmat daripada-Nya keredhaan dan syurga. Di dalamnya mereka memperoleh kesenangan yang abadi. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya disisi Allah itu pahala yang sangat besar
Sebagai pengusaha, penyelia dan pengasuh taska pengertian hijrah ini mungkin berbeza dan memberi lebih makna. Saban hari kerjaya kita menuntut pengorbanan dan penghijrahan terutama dari segi perasaan, perkataan dan perbuatan. Anak-anak disekeliling kita sangat mendambakan cara pengasuhan yang lembah lembut dan berhemah serta sesuai dengan fitrah mereka yang suci.
“…Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada orang yang dididik lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak.Barangsiapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan paksaan, maka akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat…” Ibnu Khaldun.
Diriwayatkan hadith dari Ibni Abi Najih hadith dari Ibni 'Amir hadith dari Abdillah b 'Amru meriwayatkan hadith Ibnu Sarhih berkata: 'Hadith dari Nabi (s.a.w) bersabda: 'Man lam yarham soghirana wa-ya'rif haqqa kabirina falaisa minna.' (Yg bermaksud: Barangsiapa yg tidak menyayangi anak-kanak kecil (atau kanak-kanak) dan tidak tahu hak orang-orang tua (antaranya, dihormati), maka bukanlah dia dari golongan aku (Nabi).) [Hadith Abu Daud, Kitab Adab]
Kelebihan dan keistimewaan kerjaya pengasuhan ini seharusnya kita gunakan untuk lebih mendekatkan diri dan meraih redha Allah SWT. Konsep hijrah ini jika kita hayati dan selalu memperbetulkan niat, mampu menjadikan kita lebih fokus, berilmu dan beramal untuk mencapai kesejahteraan diri, keluarga dan anak-anak yang kita jaga dan seterusnya kesejahteraan komuniti dan masyarakat setempat.
Ayuh, marilah sama-sama kita kita laksanakan penghijrahan naluri kearah kecemerlangan diri, keluarga dan generasi pewaris yang diamanahkan dibahu kita semua.
Sekian. Wallahua'lam.
Rosnah Ahmad
Penasihat
PPNP
1 Muharam 1434H
Monday, November 5, 2012
PEMURNIAN MODUL KURSUS PERKAHWINAN BAKAL MELAHIRKAN MODAL INSAN BERAKHLAK
Oleh:
Puan Salina Shamsudin
Pengerusi
Persatuan Pengasuh Negeri Pahang
Mutakhir ini kes
penderaan, pembuangan bayi dan pengabaian kanak-kanak serta bertambahnya gejala
sosial di kalangan remaja membimbangkan semua termasuk ibu bapa, masyarakat dan
juga kerajaan.
Kajian mendapati
semua ini berlaku ini adalah kerana
kurangnya kemahiran keibubapaan dalam mengasuh, mendidik dan menangani tingkah
laku anak-anak peringkat awal iaitu di bawah 8 tahun.
Kanak-kanak
dilahirkan seperti sehelai kain putih. Ibu bapa bertanggungjawab mencorakkan anak-anak mereka menjadi modal
insan yang berguna.
Rasulullah SAW
bersabda “ Setiap anak dilahirkan
dalam keadaan fitrah (bertauhid), maka kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya
Yahudi, Nasrani atau Majusi.
( Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Dapatan
dari kajian developmental psychopathology membuktikan bahawa pertambahan masalah
sosial di kalangan remaja berkaitan rapat dengan pendidikan dan cara mereka
dibesarkan terutama di peringkat awal. Kajian menyokong kepentingan pengalaman
awal yang berkualiti kepada kejayaan seseorang di sekolah dan dalam kehidupan.
(Ball,
1994),(The Organisation for Economic Co-Operation Development, OECD,1996).
Oleh itu, usaha meningkatkan kesedaran dan kemahiran
keibubapaan dalam diri setiap orang dewasa dalam masyarakat perlu dilakukan agar
mereka lebih memahami dan dapat menyantuni fitrah kanak-kanak di sekeliling
mereka.
Kesedaran keibubapaan juga dapat meningkatkan
produktiviti di kalangan pekerja kerana ilmu ini dapat membantu mereka
mengimbangi kehidupan sebagai ibu bapa dan pekerja.
Jika di Malaysia
pendedahan kesedaran untuk mendidik kanak-kanak akan dilakukan melalui
kursus-kursus keibubapaan. Tetapi selalunya kehadirannya kebanyakannya tidak
melibatkan ibu dan bapa muda atau bakal ibu bapa. Bagi bakal pengantin pula
menghadiri kursus hanya sebagai satu syarat untuk urusan perkahwinan, tetapi
penghayatan isi kandungan kursus, rata-ratanya ibarat `melepaskan batuk di
tangga’.
Jabatan
Kebajikan Masyarakat Malaysia, PERMATA Negara, institusi pengajian tinggi ada
menyediakan kursus-kursus berkaitan cara mana mendidik dan mengasuh
kanak-kanak. Tetapi kursus ini tidak menjadi pilihan kerana kesedaran tidak
dipupuk dari awal oleh ibu bapa.
Kita sedia
maklum bahawa semua Jabatan Agama Islam di Malaysia menganjurkan kursus perkahwinan
berkala bagi tujuan memberi ilmu kepada bakal pengantin tentang peranan dan
tanggungjawab sebagai suami isteri apabila berumah tangga kelak.
Apa pun bakal
suami isteri ini juga perlu diberi pengetahuan dan kemahiran mengasuh dan
mendidik anak-anak yang bakal dilahirkan secara mendalam. Ini sesuai dengan
ajaran Islam sebagaimana yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para
cendekiawan Islam seperti Ibnu Khaldun, Sayidina Ali dan ramai lagi cendekiawan
Islam yang mengajar kita cara terbaik untuk mengasuh dan mendidik anak-anak
secara fitrah.
Atas kesedaran
bagi melahirkan modal insan terbaik, modul untuk kursus perkahwinan perlu
ditambah pengisian nya dengan dimasukkan aspek kemahiran keibubapaan mengasuh
dan mendidik anak-anak di peringkat awal yang paling kritikal iaitu bermula
dari dalam janin hingga 8 tahun. Kemahiran keibubapaan yang dicadangkan adalah
mengikut prinsip serta mengambil kira aspek dan teknik kontemporari yang selari
dengan ajaran Islam.
Sayugia lah bagi
melahirkan modal insan yang terbaik akar umbi permasalahan dileraikan dengan
menggabungkan atau menambah baik kursus perkahwinan dengan pengasuhan dan
pendidikan kanak-kanak di peringkat awal lagi.
Apa pun semua ini memerlukan perjuangan yang
menuntut pengorbanan, kerjasama dan sokongan yang berterusan dari kita
semua. Natijah kepada perjuangan
ini akan menjadikan Malaysia tempat yang lebih makmur, selamat dan kondusif untuk kesejahteraan kanak-kanak
modal insan hari esok.
Sekian. Wallahua’lam.
Subscribe to:
Posts (Atom)