Tuesday, September 2, 2008

SAMBUTAN HARI TASKA 2008 MERIAH



Sambutan Hari Taska 2008 peringkat negeri anjuran Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (PPNP)di sambut meriah pada 24 Ogos 2008 (Ahad) bertempat di DewanTanah Putih, Kuantan.

Hari Taska ini disertai oleh lebih 200 kanak-kanak Taska dan Pusat Jagaan Negeri Pahang, anak-anak yatim dari Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah dan kanak-kanak istimewa dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Daerah Kuantan.

Pihak PPNP menyediakan pelbagai aktiviti dan pameran bersesuaian dengan tema sambutan iaitu “ Perkembangan Menyeluruh”.

Aktiviti-aktiviti yang diadakan termasuk pertandingan bermain doh (playdough) membuat layang-layang, mewarna, melukis, membina lego serta membina menggunakan suratkhabar dan getah.




Selain daripada itu terdapat juga aktiviti bermain congkak, menyusun puzzle serta pameran aktiviti di taska dan pusat jagaan, membesar bersama alam (nurturing through nature) dan uji kaji sains.

Pameran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan Daerah Kuantan turut memberi pelbagai penerangan berkaitan keselamatan dan kesihatan.

Pengerusi PPNP, Puan Norrimas Nordin dalam ucapan aluannya berkata adalah penting bagi ibu bapa, guru, pengasuh dan orang dewasa dalam masyarakat menggalakkan kanak-kanak berkembang secara menyeluruh supaya mereka membesar secara seimbang dari segi fizikal, sosio-emosi, bahasa dan kognitif.

Puan Norrimas juga menyatakan kehadiran anak-kanak yatim dan istimewa pada sambutan kali ini juga bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran kepada kanak-kanak untuk bergaul, menghormati dan menghargai golongan yang kurang bernasib baik.

Perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Puan Shamsiah binti Husin. Dalam ucapan beliau menekankan tugas mendidik bukan hanya di pusat asuhan. Pendidikan di rumah oleh ibu bapa dan penjaga juga sangat penting.

Beliau menyeru semua ibu bapa dan penjaga supaya tidak hanya memfokuskan pendidikan formal tetapi turut menggalakkan kanak-kanak belajar melalui bermain, bebas mencuba dan berinteraksi bersama alam yang memberi banyak faedah dan penawar bagi kanak-kanak.


Pengarah Hari Taska 2008, Puan Wan Noor Arshikin binti Wan Omar dari The Littleland Day Care Centre merakamkan ribuan terima kasih ke atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh pihak JKM Negeri Pahang, Agensi-agensi terlibat semua urusetia, pengusaha Taska dan Pusat Jagaan serta semua ibu bapa, pengasuh dan guru-guru yang menjayakan Hari Taska kali ini.

Beliau berharap segala kebaikan yang hadir bersama Hari Taska kali ini dimanfaatkan dan segala usaha diberkatiNya.