Monday, January 21, 2013

SELAMAT TAHUN BARU DARIPADA EXCO PPNP 2011/2013.

Exco PPNP 2011/2013 ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2013 kepada semua ahli dan juga kepada semua pendokong pendidikan awal kanak-kanak. Atas kesibukan semua exco ucapan  Selamat Tahun Baru 2013 agak terlewat tetapi alhamdulillah masih lagi di dalam bulan Januari 2013.

Perubahan demi perubahan berlaku dalam industri kita kebelakangan ini. Bermulanya dengan pengumuman gaji minima, penggunaan kurikulum PERMATA untuk TASKA swasta, penamatan kursus KAAK dan yang terbaru akan diumumkan oleh JKM Negeri Pahang dalam masa terdekat.

Apapun perubahan yang berlaku, kita sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam industri TASKA ini cubalah menerimanya dengan cara pemikiran positif dan berlapang dada. Memang perlu pada perubahan supaya kita tidak sentiasa berada di zon yang terlalu selesa. Dengan adanya perubahan dan desakan, kemungkinan besar akan berlaku anjakan pardigma dalam industri TASKA ini.

Sebagai orang tengah, pihak PPNP sedaya upaya membantu semua pengusaha TASKA dalam isu-isu semasa yang terkini. Samada kami berjaya atau pun tidak ianya bergantung kepada situasi semasa. Pihak PPNP telah melakukan pelbagai usaha untuk membantu dan apa yang penting sokongan dan doa daripada semua bagi kejayaan untuk semua.

Dalam kesibukan menangani masalah semasa yang sangat hangat diperkatakan, PPNP masih tidak lupa tanggungjawab kepada semua ahli dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Siri kursus akan bermula selepas mesyuarat agung yang dijangka akan diadakan sekitar Mac, 2013.

Aktiviti yang dirancang adalah untuk menyatupadukan ahli dan bukannya mencari populariti. Kita perlu bersatu untuk menjadikan kita kuat dalam menangani setiap masalah yang datang. Melalui aktiviti juga kita boleh merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara sesama hamba ALLAH swt.

Akhir kata seemoga di tahun 2013 ini sebagai hamba ALLAH swt dan sebagai pendokong pendidikan awal kanak-kanak, kita harus sedar tugas dan tanggungjawab kita. Siapa sebenarnya yang patut kita utamakan di dalam industri TASKA. Bukan sekadar mengaut keuntungan dan dunia glamour yang dikejar tetapi nasib generasi akan datang yang amat perlu diberi perhatian.Semoga sinar ketenangan menanti dihadapan.


Selamat Tahun Baru 2013!


Zubaidah Husin
Naib Pengerusi
Persatuan Pengasuh
Negeri Pahang 2011/2013