Thursday, January 31, 2013

Sambutan Hari Pengasuh dan Mesyuarat Agung PPNP Kali ke 12

Salam kepada semua ahli PPNP

Sambutan Hari Pengasuh kembali lagi. Pada masa yang sama juga kita akan bermesyuarat bagi mengetahui apakah yang telah dilakukan oleh PPNP, kedudukan kewangan PPNP dan yang paling penting tahun ini kita akan memilih takuk pimpinan yang baru bagi menerajui perjuangan PPNP.

Sambutan kali ini akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut:

Tarikh  :  16 dan 17 hb Mac, 2013
Tempat :  De Rhu Beach Resort Kuantan
Bayaran: Hanya RM60.00 seorang  (termasuk penginapan dan segala-galanya)

Acara menarik yang akan diadakan adalah sukaneka antara pengasuh, penyelia dan pengusaha TASKA dan juga kita berpeluang untuk memuhasabah diri dengan slot motivasi oleh pakar motivasi yang dijemput khas dari Kuala Lumpur.

Untuk pendaftaran dan berminat boleh terus menghubungi Puan Salina Shamsudin di talian 013-9811744 atau Puan Zubaidah Husin di talian 013-9390748/017-9190664.

Berita baik untuk pengusaha di zon barat, kami akan menyediakan bas daripada Temerloh ke De Rhu Beach Resort pergi dan balik.
 

Untuk keterangan lanjut program sila berhubung dengan Puan Zubaidah Husin ditalian 013-9390748/017-9190664

`AYUH SAHABAT SEMUA, BERSANTAI, BERMOTIVASI DAN ERATKAN SILATURRAHIM SESAMA WARGA TASKA'


Pengarah Program
Puan Zubaidah Husin
Naib Pengerusi 
Persatuan Pengasuh Negeri Pahang
2011/2013

KEPUTUSAN MESYUARAT BERSAMA MAJLIS PERUNDANGAN GAJI NEGARA

Pada 23 hb Januari yang lalu PPNP telah diwakili oleh Pengerusi persatuan iaitu Puan Salina Shamsudin. Beliau membawa misi negeri Pahang supaya pemakaian gaji minima RM900 kepada semua pengasuh ditangguhkan ke tahun hadapan. Berikut adalah keputusan mesyuarat Majlis Perundingan Gaji Negara dengan semua Pengerusi Persatuan Pengasuh Negeri.

1- Pemakaian gaji minima tetap dilaksanakan kepada industri TASKA
2- Permohonan penangguhan untuk melaksanakan pemakaian gaji minima hanya akan diketahui    selepas MPGN bersidang semula pada 7 hb Februari, 2013.
3- JKM Malaysias memaklumkan peruntukan dana RM10 ribu yang ditawarkan kepada pengusaha baru juga akan dipanjangkan kepada TASKA lama yang berdaftar.
4-  JKM Malaysia juga memaklumkan kemungkinan subsidi RM180 juga akan diberi kepada kanak-kanak di TASKA. Kelayakan hanya kepada pendapatan isi rumah sebuah keluarga kurang daripada RM3,000.
5- JKM Malaysia juga akan mengadakan `road show' berkaitan isu yang ditawarkan sekitar bulan Februari.

Sekiranya memerlukan maklumat lanjut berkaitan isu gaji minima boleh berhubung terus dengan Puan Salina Shamsudin ditalian 013-9811744 atau Puan Zubaidah Husin di talian 013-9390748/017-9190664.

Harap Maklum


Monday, January 21, 2013

SELAMAT TAHUN BARU DARIPADA EXCO PPNP 2011/2013.

Exco PPNP 2011/2013 ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2013 kepada semua ahli dan juga kepada semua pendokong pendidikan awal kanak-kanak. Atas kesibukan semua exco ucapan  Selamat Tahun Baru 2013 agak terlewat tetapi alhamdulillah masih lagi di dalam bulan Januari 2013.

Perubahan demi perubahan berlaku dalam industri kita kebelakangan ini. Bermulanya dengan pengumuman gaji minima, penggunaan kurikulum PERMATA untuk TASKA swasta, penamatan kursus KAAK dan yang terbaru akan diumumkan oleh JKM Negeri Pahang dalam masa terdekat.

Apapun perubahan yang berlaku, kita sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam industri TASKA ini cubalah menerimanya dengan cara pemikiran positif dan berlapang dada. Memang perlu pada perubahan supaya kita tidak sentiasa berada di zon yang terlalu selesa. Dengan adanya perubahan dan desakan, kemungkinan besar akan berlaku anjakan pardigma dalam industri TASKA ini.

Sebagai orang tengah, pihak PPNP sedaya upaya membantu semua pengusaha TASKA dalam isu-isu semasa yang terkini. Samada kami berjaya atau pun tidak ianya bergantung kepada situasi semasa. Pihak PPNP telah melakukan pelbagai usaha untuk membantu dan apa yang penting sokongan dan doa daripada semua bagi kejayaan untuk semua.

Dalam kesibukan menangani masalah semasa yang sangat hangat diperkatakan, PPNP masih tidak lupa tanggungjawab kepada semua ahli dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Siri kursus akan bermula selepas mesyuarat agung yang dijangka akan diadakan sekitar Mac, 2013.

Aktiviti yang dirancang adalah untuk menyatupadukan ahli dan bukannya mencari populariti. Kita perlu bersatu untuk menjadikan kita kuat dalam menangani setiap masalah yang datang. Melalui aktiviti juga kita boleh merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara sesama hamba ALLAH swt.

Akhir kata seemoga di tahun 2013 ini sebagai hamba ALLAH swt dan sebagai pendokong pendidikan awal kanak-kanak, kita harus sedar tugas dan tanggungjawab kita. Siapa sebenarnya yang patut kita utamakan di dalam industri TASKA. Bukan sekadar mengaut keuntungan dan dunia glamour yang dikejar tetapi nasib generasi akan datang yang amat perlu diberi perhatian.Semoga sinar ketenangan menanti dihadapan.


Selamat Tahun Baru 2013!


Zubaidah Husin
Naib Pengerusi
Persatuan Pengasuh
Negeri Pahang 2011/2013