Saturday, December 22, 2012

Pelaksanaan Gaji Minimum Terhadap Majikan Dengan Lima Pekerja Atau Kurang Ditangguh


Dipetik dari mStar Online
http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=%2F2012%2F12%2F4%2Fmstar_berita%2F20121203234300&sec=mstar_berita
Selasa Disember 4, 201
KUALA LUMPUR: Majikan yang menggaji lima pekerja atau kurang diberi penangguhan dalam pelaksanaan skim gaji minimum untuk sektor swasta kepada 1 Julai tahun depan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata majikan yang tergolong dalam kategori ini wajib memohon penundaan kepada Majlis Perunding Gaji Negara (MPGN) sebelum atau pada 1 April 2013.
"Bagi majikan yang menggaji enam pekerja atau lebih, yang telahpun membuat permohonan penundaan kepada MPGN sebelum ini, keputusannya akan diumum selewat-lewatnya akhir bulan ini," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan RM100,000 untuk pembangunan semula Kuil Thirumurugan Aalaya Paribalana Sabai yang terletak berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam Isnin.
Pengumuman gaji minimum bagi sektor swasta dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 April dan diwartakan pada 16 Julai lepas.
Perintah gaji minimum 2012 berkuat kuasa pada 1 Jan 2013 dan kadarnya akan dikaji semula setiap dua tahun.
Subramaniam berkata penguatkuasaan pelaksanaannya adalah mandatori dan kerajaan menetapkan gaji minimum pekerja swasta ialah RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Mengulas Mesyuarat Agung Tahunan MIC ke-66 pada 9 Dis ini, beliau berkata antara isu yang akan dibangkitkan ialah dasar politik baharu yang diperkatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan langkah pembaharuan oleh Presiden parti Datuk Seri G.Palanivel.
"Isu lain yang akan disentuh ialah pendidikan, ekonomi dan peluang perniagaan, khususnya membabitkan kontrak kerja oleh kerajaan untuk kaum India," katanya.
Subramaniam berkata satu resolusi membabitkan isu berkenaan akan dibuat pada akhir mesyuarat dan diserah kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.
Mengenai Kuil Thirumurugan Aalaya Paribalana Sabai, beliau berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana meluluskan rancangan pembinaan semula kuil itu.
Kuil itu memberi kemudahan ibadat kepada kaum India apabila menerima rawatan atau berurusan di HKL, katanya. - BERNAMA

Thursday, November 15, 2012

HIJRAH NALURI DIRI DEMI GENERASI PEWARIS


Salam Maal Hijrah kepada semua warga PPNP,

Semoga semua berada dalam kemanisan iman dan sihat walafiat sekeluarga hendaknya.

Sempena Maal Hijrah ini marilah sama-sama kita berazam berubah dan berhijrah ke arah kebaikan dalam kehidupan seharian kita untuk mencari keredhaan Allah semata-mata.

Surah At Taubah ayat 20 yang bermaksud: "Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan diri, mereka adalah lebih tinggi darjatnya pada sisi Allah (SWT). Mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan mengembirakan mereka dengan rahmat daripada-Nya keredhaan dan syurga. Di dalamnya mereka memperoleh kesenangan yang abadi. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya disisi Allah itu pahala yang sangat besar

Sebagai pengusaha, penyelia dan pengasuh taska pengertian hijrah ini mungkin berbeza dan memberi lebih makna. Saban hari kerjaya kita menuntut pengorbanan dan penghijrahan terutama dari segi perasaan, perkataan dan perbuatan. Anak-anak disekeliling kita sangat mendambakan cara pengasuhan yang lembah lembut dan berhemah serta sesuai dengan fitrah mereka yang suci.

“…Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada orang yang dididik lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak.Barangsiapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan paksaan, maka akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat…” Ibnu Khaldun.

Diriwayatkan hadith dari Ibni Abi Najih hadith dari Ibni 'Amir hadith dari Abdillah b 'Amru meriwayatkan hadith Ibnu Sarhih berkata: 'Hadith dari Nabi (s.a.w) bersabda: 'Man lam yarham soghirana wa-ya'rif haqqa kabirina falaisa minna.' (Yg bermaksud: Barangsiapa yg tidak menyayangi anak-kanak kecil (atau kanak-kanak) dan tidak tahu hak orang-orang tua (antaranya, dihormati), maka bukanlah dia dari golongan aku (Nabi).) [Hadith Abu Daud, Kitab Adab]

Kelebihan dan keistimewaan kerjaya pengasuhan ini seharusnya kita gunakan untuk lebih mendekatkan diri dan meraih redha Allah SWT. Konsep hijrah ini jika kita hayati dan selalu memperbetulkan niat, mampu menjadikan kita lebih fokus, berilmu dan beramal untuk mencapai kesejahteraan diri, keluarga dan anak-anak yang kita jaga dan seterusnya kesejahteraan komuniti dan masyarakat setempat.

Ayuh, marilah sama-sama kita kita laksanakan penghijrahan naluri kearah kecemerlangan diri, keluarga dan generasi pewaris yang diamanahkan dibahu kita semua.

Sekian. Wallahua'lam.

Rosnah Ahmad
Penasihat
PPNP
1 Muharam 1434H

Monday, November 5, 2012

PEMURNIAN MODUL KURSUS PERKAHWINAN BAKAL MELAHIRKAN MODAL INSAN BERAKHLAK


Oleh:
Puan Salina Shamsudin
Pengerusi
Persatuan Pengasuh Negeri Pahang


Mutakhir ini kes penderaan, pembuangan bayi dan pengabaian kanak-kanak serta bertambahnya gejala sosial di kalangan remaja membimbangkan semua termasuk ibu bapa, masyarakat dan juga kerajaan.

Kajian mendapati  semua ini berlaku ini adalah kerana kurangnya kemahiran keibubapaan dalam mengasuh, mendidik dan menangani tingkah laku anak-anak peringkat awal iaitu di bawah 8 tahun.

Kanak-kanak dilahirkan seperti sehelai kain putih. Ibu bapa bertanggungjawab  mencorakkan anak-anak mereka menjadi modal insan yang berguna.

Rasulullah SAW bersabda “ Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (bertauhid), maka kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. 
( Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dapatan dari kajian developmental psychopathology membuktikan bahawa pertambahan masalah sosial di kalangan remaja berkaitan rapat dengan pendidikan dan cara mereka dibesarkan terutama di peringkat awal. Kajian menyokong kepentingan pengalaman awal yang berkualiti kepada kejayaan seseorang di sekolah dan dalam kehidupan.
(Ball, 1994),(The Organisation for Economic Co-Operation Development, OECD,1996).

Oleh itu, usaha  meningkatkan kesedaran dan kemahiran keibubapaan dalam diri setiap orang dewasa dalam masyarakat perlu dilakukan agar mereka lebih memahami dan dapat menyantuni fitrah kanak-kanak di sekeliling mereka.

Kesedaran keibubapaan juga dapat meningkatkan produktiviti di kalangan pekerja kerana ilmu ini dapat membantu mereka mengimbangi kehidupan sebagai ibu bapa dan pekerja.

Jika di Malaysia pendedahan kesedaran untuk mendidik kanak-kanak akan dilakukan melalui kursus-kursus keibubapaan. Tetapi selalunya kehadirannya kebanyakannya tidak melibatkan ibu dan bapa muda atau bakal ibu bapa. Bagi bakal pengantin pula menghadiri kursus hanya sebagai satu syarat untuk urusan perkahwinan, tetapi penghayatan isi kandungan kursus, rata-ratanya ibarat `melepaskan batuk di tangga’. 

Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, PERMATA Negara, institusi pengajian tinggi ada menyediakan kursus-kursus berkaitan cara mana mendidik dan mengasuh kanak-kanak. Tetapi kursus ini tidak menjadi pilihan kerana kesedaran tidak dipupuk dari awal oleh ibu bapa. 


Kita sedia maklum bahawa semua Jabatan Agama Islam di Malaysia menganjurkan kursus perkahwinan berkala bagi tujuan memberi ilmu kepada bakal pengantin tentang peranan dan tanggungjawab sebagai suami isteri apabila berumah tangga kelak.

Apa pun bakal suami isteri ini juga perlu diberi pengetahuan dan kemahiran mengasuh dan mendidik anak-anak yang bakal dilahirkan secara mendalam. Ini sesuai dengan ajaran Islam sebagaimana yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para cendekiawan Islam seperti Ibnu Khaldun, Sayidina Ali dan ramai lagi cendekiawan Islam yang mengajar kita cara terbaik untuk mengasuh dan mendidik anak-anak secara fitrah.

Atas kesedaran bagi melahirkan modal insan terbaik, modul untuk kursus perkahwinan perlu ditambah pengisian nya dengan dimasukkan aspek kemahiran keibubapaan mengasuh dan mendidik anak-anak di peringkat awal yang paling kritikal iaitu bermula dari dalam janin hingga 8 tahun. Kemahiran keibubapaan yang dicadangkan adalah mengikut prinsip serta mengambil kira aspek dan teknik kontemporari yang selari dengan ajaran Islam.

Sayugia lah bagi melahirkan modal insan yang terbaik akar umbi permasalahan dileraikan dengan menggabungkan atau menambah baik kursus perkahwinan dengan pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak di peringkat awal lagi.

Apa pun semua ini memerlukan perjuangan yang menuntut pengorbanan, kerjasama dan sokongan yang berterusan dari kita semua.  Natijah kepada perjuangan ini akan menjadikan Malaysia tempat yang lebih makmur,  selamat dan kondusif  untuk kesejahteraan kanak-kanak modal insan hari esok.

Sekian. Wallahua’lam.



Tuesday, October 30, 2012

KERJAYA PENGASUH JUGA PERLU DIBELA


GEMBLENG TENAGA UNTUK KESEJAHTERAAN KANAK-KANAK


Friday, October 26, 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA-AYUH BERJUANG, BERSATU DAN BERKORBAN DEMI KESEJAHTERAAN KANAK-KANAK


Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua warga PPNP yang dikasihi sekelian,

Marilah sama-sama menghayati erti pengorbanan dan menterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Selain tuntutan untuk kita berkorban, Hari Raya Aidil Adha juga membawa mesej konsep kesatuan dan perpaduan.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran, ayat 103:

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ

Bermaksud: "Dan hendaklah kamu berpegang-teguh dengan tali Allah (ugama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai".

Sempena Hari Raya Aidil Adha ini saya berseru agar semua ahli  Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (PPNP)  bersatu dan berkorban demi kesejahteraan kanak-kanak. Ini sesuai dengan objektif dan imej penubuhan PPNP sebagai badan bukan kerajaan yang melaksanakan aktiviti dan kerja-kerja advokasi bagi kesejahteraan kanak-kanak sesuai dengan moto PPNP iaitu  “ ke arah pengasuhan yang berkualiti”.

Situasi hari ini  menyaksikan kanak-kanak setiap hari terdedah kepada pelbagai aspek penaniayan, penderaan dan kecederaan . Kita mesti mengembeleng tenaga untuk:-

1.      Meningkatkan kualiti asuhan dan didikan yang memenuhi hak kanak-kanak dari segi keselamatan, perkembangan, perlindungan dan penyertaan.

2.      Memberi ilmu dan kemahiran yang mencukupi dan berkualiti untuk pengasuh supaya mereka dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mengasuh dan mendidik dengan lebih professional.

3.      Meningkatkan kesedaran dan kemahiran keibubapaan dalam diri setiap orang dewasa dalam masyarakat agar mereka lebih memahami dan dapat menyantuni fitrah kanak-kanak disekeliling mereka. Menggembeleng tenaga setiap agensi kerajaan, swasta dan NGO untuk bekerjasama bagi mencapai tujuan ini.  Kesedaran keibubapaan juga dapat meningkatkan produktiviti dikalangan pekerja kerana ilmu ini dapat membantu mereka mengimbangi kehidupan sebagai ibu bapa dan pekerja.

4.      Memastikan persekitaran di taska, tadika, sekolah, rumah dan juga semua tempat awam selamat dan kondusif untuk kanak-kanak.  Perkongsian bijak antara Taska, ibu bapa dan komuniti dapat membantu usaha ini.

5.      Menaik taraf pendidikan dan profesionalisme  kerjaya  pengasuh  seiring dengan keperluan menaikkan gaji pengasuh yang rata-ratanya sekarang ini masih di bawah tahap  kemiskinan.

Apa pun semua ini memerlukan perjuangan yang menuntut pengorbanan, kerjasama dan sokongan yang berterusan dari kita semua.  Natijah kepada perjuangan ini akan menjadikan Malaysia tempat yang lebih makmur,  selamat dan kondusif  untuk kesejahteraan kanak-kanak modal insan hari esok.
Sekian. Wallahua’lam.

Rosnah Ahmad
Penasihat
Persatuan Pengasuh Negeri Pahang
10 Zulhijjah 1433H


Friday, October 19, 2012

Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak Anjuran Persatuan Pengasuh Negeri Pahang

Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak akan diadakan di Zon Timur (Kuantan) dan Zon Barat (Temerloh) seperti berikut:

Zon Timur (Kuantan)

Tarikh : 12 hb November hingga 1 hb Disember, 2012

Tempat : Pusat Latihan Tinta Ori
         B 32 Tingkat 2, Lorong IM 5/2
         Bandar Indera Mahkota
         25200 Kuantan

Masa pendaftaran: 12 hb Nov, 2012 jam 8.00 pagi di Pusat Latihan Tinta Ori.

Zon Barat (Temerloh)

Tarikh : 16 hb November hingga 6 hb Disember, 2012


Tempat : Dekad Ombak Training Centre
           No.21, 2nd Floor, Jalan Ahmad Shah
           28000 Temerloh
           Pahang 
 


Yuran Kursus : RM300 seorang tidak termasuk makan dan minum. 

Penginapan : kepada yang memerlukan sila berurusan dengan penyelaras kursus semasa hari pendaftaran.

Berminat untuk mendaftar dan keterangan lanjut sila hubungi:

Zon Timur (Kuantan)

Puan Zubaidah Husin (017-9190664/013-9390748)

Zon Barat (Temerloh)

Puan Salina Shamsudin (013-9811744)