Tuesday, September 2, 2008

AKTIVITI TERKINI BIRO PENDIDIKAN

OLEH
Rosnah Ahmad
Ketua Biro Pendidikan

Salam,

Menemui semua ahli PPNP semoga sihat sejahtera dan bahagia selalu. Saya juga ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua ahli yang beragama Islam.

Dalam kesibukan harian, Biro Pendidikan PPNP tidak lupa menjalankan tanggungjawab mengadakan kursus dan bengkel bagi meningkatkan professionalisme pengasuhan dikalangan ahli.

Aktiviti terbaru adalah Kursus Pertolongan Cemas bagi zon barat yang telah diadakan pada 23 ogos 2008 (Sabtu) di Dewan Majlis Perbandaran, Temerloh, Pahang. Seramai 23 orang peserta telah menghadiri kursus yang dikelolakan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Negeri Pahang.

Kursus serupa akan diadakan diKuantan dalam masa terdekat. Tarikh, masa dan tempat akan dimaklumkan kemudian.

Selain daripada itu, Bengkel Bahasa Inggeris untuk Pengasuh akan diakankan dalam bulan Oktober 2008. Bengkel ini akan dikelolakan oleh Puan Wan Noor Arshikin binti Wan Omar dari The Littleland Day Care Centre dan Puan Farida Kazi binti Mohamed dari Taska Intaz.

Bagi pihak PPNP, saya mengalu-ngalukan sebarang cadangan bagi menambah baikan perjalanan dan meningkatkan aktivisme PPNP.

Moga segala usaha kita dimudahkdan dan diberkatiNya.

"Sayangilah anak-anak kita"

PPNP SERTAI PELANCARAN PROJEK ASUHAN PRIHATIN MALAYSIA


Persatuan Pengasuh Negeri Pahang(PPNP) menyertai Pelancaran Projek Asuhan Prihatin Malaysia pada 28 Ogos 2008 (khamis)jam 4-5.30 petang bertempat di Dewan Kompleks Penyayang Bakti, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur.

Seramai 75 orang peserta dan 7 orang ahli jawatankuasa menghadiri pada majlis pelancaran tersebut.

Projek Asuhan Prihatin Malaysia Persatuan menganjurkan Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak Taska Rumah (KAAKTR) dan memberi khidmat holding hands kepada pengusaha Taska Rumah selama 6 bulan oleh mentor yang berpengalaman dan terlatih.

Projek ini adalah anjuran Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia(PPBM)dengan kerjasama Persatuan Pengasuh Negeri dan disokong oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Kewangan Malaysia.

PPNP berjaya mengadakan Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak Taska Rumah (KAAKTR) sebanyak enam kali sebagaimana perancangan awal projek ini pada bulan Mac 2008. Seramai 177 wanita dari golongan ibu tunggal, suri rumah dan wanita berpendapatan rendah seluruh negeri Pahang mendapat manfaat daripada projek ini.

Setakat ini 11 orang peserta telah memulakan perniagaan Taska Rumah dan khidmat holding hands sedang dijalankan.

KURSUS ASAS ASUHAN KANAK-KANAK TASKA RUMAH (KAAKTR) KALI KE 6

Persatuan Pengasuh Negeri Pahang berjaya mengadakan Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak Taska Rumah (KAAKTR) kali ke 6 di Semuji Agro Resort, Gambang, Kuantan pada 25-29 ogos.


Seramai 22 orang peserta menyertai kursus ini. Kursus 5 hari 4 malam ini bertujuan memberi kemahiran kepada ibu tunggal dan wanita yang berpendapatan rendah berkenaan aspek penjagaan dan pengasuhan kanak-kanak bawah 4 tahun di Taska Rumah. Ia juga membantu golongan wanita ini menceburi bidang perniagaan dan menambah pendapatan melalui bidang pengasuhan Taska Rumah.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Negeri Pahang, Puan Shamsiah binti Husin. Dalam ucapan beliau menyeru semua peserta supaya sentiasa berusaha menimba ilmu dalam bidang pengasuhan untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat.

SAMBUTAN HARI TASKA 2008 MERIAH



Sambutan Hari Taska 2008 peringkat negeri anjuran Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (PPNP)di sambut meriah pada 24 Ogos 2008 (Ahad) bertempat di DewanTanah Putih, Kuantan.

Hari Taska ini disertai oleh lebih 200 kanak-kanak Taska dan Pusat Jagaan Negeri Pahang, anak-anak yatim dari Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah dan kanak-kanak istimewa dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Daerah Kuantan.

Pihak PPNP menyediakan pelbagai aktiviti dan pameran bersesuaian dengan tema sambutan iaitu “ Perkembangan Menyeluruh”.

Aktiviti-aktiviti yang diadakan termasuk pertandingan bermain doh (playdough) membuat layang-layang, mewarna, melukis, membina lego serta membina menggunakan suratkhabar dan getah.




Selain daripada itu terdapat juga aktiviti bermain congkak, menyusun puzzle serta pameran aktiviti di taska dan pusat jagaan, membesar bersama alam (nurturing through nature) dan uji kaji sains.

Pameran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan Daerah Kuantan turut memberi pelbagai penerangan berkaitan keselamatan dan kesihatan.

Pengerusi PPNP, Puan Norrimas Nordin dalam ucapan aluannya berkata adalah penting bagi ibu bapa, guru, pengasuh dan orang dewasa dalam masyarakat menggalakkan kanak-kanak berkembang secara menyeluruh supaya mereka membesar secara seimbang dari segi fizikal, sosio-emosi, bahasa dan kognitif.

Puan Norrimas juga menyatakan kehadiran anak-kanak yatim dan istimewa pada sambutan kali ini juga bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran kepada kanak-kanak untuk bergaul, menghormati dan menghargai golongan yang kurang bernasib baik.

Perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Puan Shamsiah binti Husin. Dalam ucapan beliau menekankan tugas mendidik bukan hanya di pusat asuhan. Pendidikan di rumah oleh ibu bapa dan penjaga juga sangat penting.

Beliau menyeru semua ibu bapa dan penjaga supaya tidak hanya memfokuskan pendidikan formal tetapi turut menggalakkan kanak-kanak belajar melalui bermain, bebas mencuba dan berinteraksi bersama alam yang memberi banyak faedah dan penawar bagi kanak-kanak.


Pengarah Hari Taska 2008, Puan Wan Noor Arshikin binti Wan Omar dari The Littleland Day Care Centre merakamkan ribuan terima kasih ke atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh pihak JKM Negeri Pahang, Agensi-agensi terlibat semua urusetia, pengusaha Taska dan Pusat Jagaan serta semua ibu bapa, pengasuh dan guru-guru yang menjayakan Hari Taska kali ini.

Beliau berharap segala kebaikan yang hadir bersama Hari Taska kali ini dimanfaatkan dan segala usaha diberkatiNya.